Phoong naik bas pink, dengar sendiri keluhan penumpang!

KOTA KINABALU: Bukan sekadar menerima laporan di pejabat, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe turun padang memeriksa sendiri perkhidmatan bas awam Pink Bus KK dan BAS.MY Kota Kinabalu.

Phoong yang turut dikenali sebagai Ginger Phoong mengambil pendekatan mendekati pengguna bagi mendengar sendiri keluhan, cadangan dan masalah yang dihadapi mereka ketika menggunakan pengangkutan awam.

Menurutnya, pemeriksaan mengejut atau spot check itu penting bagi memastikan mutu perkhidmatan bas sentiasa ditambah baik mengikut keperluan rakyat.

“Dengan sentiasa mendengar keluhan pengguna, menerima maklum balas dan cadangan serta memahami sendiri masalah yang dihadapi, saya percaya kita dapat melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Menerusi beberapa gambar dikongsikan, Phoong dilihat mendekati sebuah bas berwarna merah jambu dan berinteraksi dengan individu di dalam kenderaan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang ditemuinya kerana memberikan sokongan dan pandangan membina terhadap perkhidmatan bas awam.

“Saya akan terus berusaha memastikan perkhidmatan ditambah baik dan rakyat serta pengguna diberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Phoong berkata, maklum balas secara langsung daripada penumpang penting bagi membolehkan pihak berkaitan memahami masalah sebenar yang berlaku di lapangan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebarang perubahan jadual, laluan atau penambahbaikan khusus susulan pemeriksaan berkenaan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan