Dakwaan GRS gagal mentadbir hanya permainan politik pembangkang

KOTA KINABALU: Dakwaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mentadbir negeri disifatkan sebagai permainan persepsi pembangkang untuk memburukkan kepimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, pelbagai isu termasuk kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo sengaja dijadikan bahan serangan politik terhadap kerajaan negeri.

Katanya, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan projek itu digunakan pembangkang untuk menyalahkan GRS, walaupun menurutnya belum terbukti gabungan berkenaan bertanggungjawab terhadap kelewatan tersebut.

“Walaupun beberapa pemimpin termasuk Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Joachim Gunsalam sudah memberikan penjelasan, masih ada pihak yang tidak bersetuju.

“Bagi mereka, apa sahaja yang GRS lakukan adalah salah di mata mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib turut mengkritik tindakan pembangkang yang didakwanya sering menyalahkan kerajaan negeri berhubung pelbagai masalah termasuk bekalan air, elektrik, jalan raya rosak dan tiket penerbangan.

Beliau berkata, tuduhan rambang serta penyebaran naratif negatif di media sosial hanya berisiko menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Janganlah terlalu berpolitik dan sentiasa mengadu domba di media sosial kalau tidak mahu memberi sumbangan kepada masyarakat. Perlu bijak berpolitik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Hajiji supaya terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 tanpa terganggu dengan serangan politik pembangkang.

Berita Berkaitan