Pemuda Gagasan Rakyat pertahan Hajiji, mahu isu asas rakyat ditangani
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor, daripada sebarang serangan dan tohmahan tidak berasas.
Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pada masa sama, pergerakan itu akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan, khususnya dalam memastikan isu bekalan air, jalan raya dan elektrik mendapat perhatian sewajarnya.
Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat membabitkan barisan Exco dan ketua-ketua Pemuda bahagian susulan penstrukturan semula pentadbiran parti baru-baru ini.
“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh sebagai tunjang kekuatan parti dalam mempertahankan kepimpinan Gagasan Rakyat, khususnya Hajiji, daripada serangan, tohmahan dan fitnah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sebarang usaha memburukkan kepimpinan parti dengan naratif yang tidak berasas akan ditangani secara berfakta dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan media.
Azrul berkata, mesyuarat berkenaan turut meneliti perkembangan pelaksanaan projek infrastruktur asas yang sedang dilaksanakan kerajaan dan dijangka diselesaikan secara berperingkat.
Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat mahu memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual, selain menggesa langkah lebih proaktif diambil bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
“Kita bukan sahaja mahu memastikan projek-projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual, malah isu dan kesulitan yang dihadapi rakyat sementara menunggu penyelesaian projek berkenaan juga perlu ditangani secara lebih proaktif,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiat program serta siri libat urus di peringkat akar umbi bagi mendekati golongan muda dan memahami aspirasi mereka.
Menurutnya, usaha itu juga bertujuan memperkukuh sokongan generasi muda terhadap Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Azrul turut memaklumkan bahawa pergerakan itu baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching.
Katanya, pertemuan tersebut menjadi langkah awal memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama politik antara sayap pemuda parti di Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan, Pemuda Gagasan Rakyat bukan sekadar benteng mempertahankan parti, sebaliknya akan terus mengangkat suara dan aspirasi rakyat untuk diberikan perhatian oleh kerajaan.

