Shafie perlu jawab isu Pan Borneo, Warisan jangan lepas tangan – Aksyah
KOTA KINABALU: Parti Warisan digesa tidak melepaskan tanggungjawab terhadap kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya keputusan menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah, berkata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, juga perlu menjelaskan peranannya ketika projek itu dirancang dan dilancarkan pada 2016.
“Kenapa isu ini hanya dibangkitkan sekarang, sedangkan beliau sendiri mempunyai kedudukan dalam kerajaan ketika projek berkenaan dirancang dan dilancarkan?” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aksyah berkata, cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat keseluruhan pelaksanaan projek itu perlu disokong, termasuk meneliti kesan penamatan PDP ketika pentadbiran Warisan.
Menurutnya, siasatan berkenaan tidak wajar digunakan untuk menyalahkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, tanpa mengambil kira kronologi dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kerajaan GRS terus berusaha mempercepatkan projek itu sehingga kesemua 19 pakej Pan Borneo Fasa 1B diserahkan kepada kontraktor pada Oktober 2024.
Aksyah turut mencadangkan penelitian terhadap keberkesanan dana pembangunan luar bandar RM1.5 bilion ketika Shafie menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Siasatan PAC sepatutnya menjadi platform mencari kebenaran dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, bukannya dijadikan senjata politik,” katanya.

