Jalan berlubang besar, besi terdedah ancam pengguna di Inanam
INANAM: Jalan berlubang besar dengan struktur konkrit pecah dan besi tetulang terdedah di Lorong Perindustrian Batu 7, di sini, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Keadaan itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Majimbun yang mendesak Jabatan Kerja Raya (JKR) segera turun padang bagi memeriksa kerosakan berkenaan.
Menurutnya, jalan terbabit menjadi laluan harian pekerja industri dan orang awam, sekali gus berisiko mengundang kemalangan jika dibiarkan tanpa tindakan.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan struktur bawah jalan dan kemungkinan masalah pada sistem saliran atau pembetung bawah tanah.
“Saya mendesak JKR dan agensi teknikal berkaitan supaya turun ke lokasi dengan segera, menjalankan pemeriksaan menyeluruh serta mengambil tindakan keselamatan tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Edna menegaskan, kerosakan itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan menampal permukaan jalan kerana pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan sehingga ke struktur asas.
Katanya, kerja pembaikan mesti mematuhi spesifikasi teknikal JKR bagi memastikan laluan berkenaan benar-benar selamat dan tahan lama.
Beliau turut mendesak pemasangan penghadang keselamatan, papan tanda dan lampu amaran segera, khususnya bagi melindungi pengguna jalan raya pada waktu malam.
Edna berkata, pihak berkaitan juga perlu menjelaskan punca kerosakan serta jadual pembaikan, sambil menegaskan beliau akan terus memantau isu berkenaan sehingga tindakan sewajarnya dilaksanakan.

