Warga emas maut selepas kereta rempuh lori
PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 28, Jalan Kimanis-Keningau, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 64 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pengalat dari arah Keningau.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang sebelum kereta mangsa merempuh bahagian sisi kiri kenderaan berat berkenaan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Heryan berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu bagi menjalani proses bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan lalu lintas benar-benar selamat sebelum membelok atau memasuki simpang, khususnya pada waktu malam.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-881 3880 atau mana-mana balai polis berhampiran.

