Tangguh roboh rumah Kg Pondo bukan bermakna batal – Aksyah

KOTA KINABALU: Penangguhan perobohan rumah tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, atas pertimbangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya dianggap sebagai pembatalan tindakan penguatkuasaan.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor terhadap masa depan pendidikan pelajar terbabit.

Katanya, pertimbangan kemanusiaan itu tidak bermakna kerajaan negeri berkompromi dalam soal pematuhan undang-undang.

“Penangguhan atas dasar ihsan ini bukan lesen untuk mengetepikan undang-undang. Tempoh yang panjang sudah diberikan dan kawasan berkenaan telah lama digazetkan sebagai kawasan peranginan, bukannya penempatan setinggan tanpa kawalan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, Isnin.

Aksyah berkata, pembangunan semula Pulau Gaya secara terancang berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, selain meningkatkan pendapatan peniaga kecil, pengusaha bot dan penduduk tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa isu penempatan berkenaan tidak diselesaikan ketika Warisan menerajui pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menyediakan penempatan baharu kepada penduduk terbabit.

Katanya, penduduk sewajarnya menghargai budi bicara kerajaan negeri dengan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas peperiksaan SPM selesai.

Terdahulu, Hajiji menyatakan kesediaan kerajaan negeri mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan di Kampung Pondo bagi mengambil kira kepentingan calon SPM.

Berita Berkaitan