Wira Warisan tuntut Kampung Pondo diwartakan

KOTA KINABALU: Wira Warisan Sabah menggesa kerajaan negeri mewartakan Kampung Pondo, Pulau Gaya sebagai penempatan sah susulan cadangan perobohan kediaman di kawasan berkenaan.

Ketua Wira Warisan Sabah, Khairuddin Daud berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyediakan penempatan alternatif mencukupi seiring dengan tindakan perobohan kediaman yang didiami warganegara.

Katanya, kerajaan juga perlu mempergiatkan usaha pewartaan tanah serta pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Sabah.

“Penguatkuasaan undang-undang perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan, kebajikan rakyat dan usaha menyediakan penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, wakil penduduk Kampung Pondo, Ustaz Jamili bersama penduduk kampung hadir ke pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Mayor DBKK, Datuk Seri Sabin Samitah.

Memorandum itu antara lain menuntut supaya kampung berkenaan diwartakan sebagai penempatan sah, selain menggesa kerajaan memberikan perhatian terhadap kebajikan penduduk.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong bersama Wira Warisan Sabah sebagai tanda solidariti terhadap penduduk terbabit.

Khairuddin berkata, pihaknya mengakui tindakan perobohan kediaman di atas tanah kerajaan tertakluk kepada undang-undang, namun kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan.

“Undang-undang perlu dihormati, namun kebajikan dan kepentingan rakyat juga tidak boleh diabaikan,” katanya.

Berita Berkaitan