Sabah bakal taja pelajar perubatan UMS, tangani kekurangan doktor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berhasrat menyediakan tajaan kepada setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai langkah jangka panjang menangani masalah kekurangan doktor di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah merupakan penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan tenaga perubatan di negeri ini.
“Bagi saya, satu-satunya penyelesaian jangka panjang adalah memastikan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah.
“Untuk itu, kita akan memastikan setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di UMS berhak menerima tajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di sini, semalam.
Menurut Masidi, antara cabaran utama yang dihadapi Sabah ialah kesukaran mendapatkan doktor dari negeri lain, selain bilangan doktor yang bersedia ditempatkan di pelbagai kawasan di negeri ini masih terhad.
Katanya, selain memilih untuk berkhidmat dalam sektor swasta atau membuka klinik sendiri, faktor komitmen keluarga turut menjadi pertimbangan dalam kalangan doktor untuk menerima penempatan di Sabah.
Sehubungan itu, kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan lebih ramai doktor, dengan kumpulan baharu dijangka ditempatkan di Sabah pada Februari depan.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, kerajaan Sabah terus menyediakan peruntukan RM5 juta setahun bagi skim biasiswa kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang memenuhi syarat kelayakan.
Katanya, skim yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu itu masih diteruskan, namun keseluruhan peruntukan belum dimanfaatkan kerana pemberian biasiswa tertakluk kepada kelayakan pelajar.

