PKR Sarawak tidak bertanding PRN ke-13, hormati kerjasama dengan GPS

KUCHING: PKR Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR Pusat, Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan mengambil kira kepentingan memelihara kestabilan politik pada peringkat negeri dan Persekutuan.

Pendirian tersebut juga bertujuan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial tanpa mengabaikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan PKR di Sarawak diarahkan mematuhi ketetapan berkenaan serta menjaga hubungan baik dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Berita Berkaitan