Laluan baharu daki Gunung Kinabalu dari Kiau dibuka Januari depan

KOTA KINABALU: Laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian ke Marai-Parai bakal dilancarkan pada 16 Januari 2027, sekali gus menjadi tarikan baharu sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan laluan itu diyakini mampu mengubah landskap ekonomi penduduk Kadamaian menerusi sektor pelancongan.

“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu sebelah Kadamaian merupakan ‘game changer’ kepada aktiviti ekonomi rakyat Sabah di Kadamaian,” katanya selepas mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah (TTS), di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pembangunan berkenaan merupakan antara fokus utama Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035, selain disokong pelaksanaan projek infrastruktur termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB).

Pada kunjungan itu, beliau menerima taklimat daripada Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim mengenai laluan eksklusif pendakian Kiau–Marai-Parai bagi fasa pertama sejauh tujuh kilometer.

Laluan berkenaan bermula dari Kampung Kiau Nuluh pada ketinggian 977 meter hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.

Menariknya, sebanyak 25 lokasi tarikan utama dikenal pasti sepanjang laluan itu, termasuk Minitinduk Gorge yang merupakan pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu menerusi jejak pendakian Sir Hugh Low pada 1851.

Pendaki juga berpeluang menikmati keindahan landskap dataran tinggi, kepelbagaian flora endemik serta keunikan spesies tumbuhan periuk kera.

Berdasarkan pelan keseluruhan, laluan dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut hingga ke Low’s Peak membabitkan jarak 15.28 kilometer, manakala keseluruhan perjalanan hingga ke Pintu Timpohon kira-kira 24 kilometer.

Selain Marai-Parai, pembangunan Puncak Sayap, Gunung Nungkok, Melangkap dan Tambatuon turut berpotensi menjadikan Kadamaian sebagai hab ekopelancongan berasaskan komuniti, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Berita Berkaitan