Enam daerah pantai timur Sabah dilapor alami gangguan elektrik

KOTA KINABALU: Enam daerah di pantai timur Sabah dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kejadian menara penghantaran elektrik berkapasiti 132 kilovolt (kV) yang didakwa tumbang.

Daerah yang dilaporkan terjejas ialah Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna platform Threads menerusi hantaran yang turut memaparkan rakaman video kawasan laluan kabel penghantaran elektrik.

Menurut hantaran berkenaan, gangguan bekalan elektrik itu dipercayai berpunca daripada insiden menara penghantaran elektrik 132kV yang menyalurkan bekalan ke pantai timur Sabah tumbang.

Perkongsian tersebut turut menarik perhatian pengguna media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian, lokasi menara yang didakwa tumbang serta jumlah pengguna yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

Pengesahan rasmi daripada Sabah Electricity berhubung kejadian itu, termasuk anggaran tempoh pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas, masih dinantikan.

Berita Berkaitan