Pantai timur Sabah blackout, bekalan elektrik dipulihkan berperingkat

KOTA KINABALU: Sabah Electricity mengesahkan gangguan bekalan elektrik melanda kawasan pantai timur Sabah susulan insiden pada sistem penghantaran elektrik jam 6.04 pagi tadi.

Susulan kejadian itu, bilik gerakan sedang diaktifkan bagi menyelaras usaha pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan teknikal sedang giat melaksanakan kerja pemulihan bekalan elektrik di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu secara berperingkat.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam proses dikenal pasti.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan menara penghantaran elektrik berkapasiti 132 kilovolt (kV) tumbang sehingga menyebabkan enam daerah di pantai timur Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Enam daerah berkenaan ialah Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

Bagaimanapun, dakwaan menara tumbang itu belum disahkan Sabah Electricity.

Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan dialami pengguna dan memaklumkan perkembangan terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa.

Berita Berkaitan