Kanak-kanak autisme enam tahun ditemukan lemas
LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari jambatan berhampiran rumahnya di perkampungan air Kampung Patau-Patau Dua, di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 10.30 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota bomba bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.
Mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12.57 tengah malam, kira-kira satu meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 1.38 pagi.

