Warisan jangan tunggang isu menara tumbang – Aksyah

KOTA KINABALU: Parti Warisan diingatkan supaya tidak menunggang isu menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau untuk meraih modal politik, sebaliknya menjelaskan rekod pentadbirannya dalam pengurusan bekalan elektrik Sabah.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah berkata, insiden itu berpunca daripada hakisan tebing Sungai Liwagu akibat hujan lebat dan arus deras, bukannya masalah penjanaan elektrik.

Katanya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd Khairuddin Daud tidak sepatutnya mengeksploitasi kejadian berkenaan bagi membina persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.

“Tidak kira sama ada margin rizab penjanaan elektrik kita 20 peratus, 30 peratus ataupun 50 peratus, jika talian penghantaran utama 275kV yang menyalurkan 295MW bekalan dari Pantai Barat ke Pantai Timur itu putus dihanyutkan arus sungai, elektrik tetap tidak dapat disalurkan sehingga menara sementara siap dipasang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Aksyah berkata, ketika petugas Sabah Electricity bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik, pihak pembangkang sebaliknya cuba mengaitkan kejadian itu dengan sasaran margin rizab elektrik kerajaan negeri.

Beliau turut menjelaskan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu berfungsi menstabilkan grid dan menampung beban puncak, bukannya menggantikan talian penghantaran utama.

Dalam pada itu, Aksyah mendakwa margin rizab elektrik Sabah pernah merosot ke paras sekitar lapan peratus ketika pentadbiran Warisan susulan pembatalan projek pembinaan loji janakuasa.

“Daripada paras kritikal lapan peratus, kerajaan hari ini bekerja keras menaikkannya semula kepada 19 peratus dan menyasarkan 26 peratus,” katanya.

Berita Berkaitan