Ada pemilik kenderaan miliki 200 kompaun cecah RM40,000 – DBKK
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendedahkan terdapat pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai sehingga 200 kompaun tertunggak dengan nilai terkumpul mencecah RM40,000.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, rekod berkenaan menunjukkan terdapat kesalahan parkir berulang serta tanggungan kompaun yang tidak diselesaikan.
Menurutnya, tindakan menunda kenderaan dilaksanakan demi keselamatan dan kepentingan awam, khususnya terhadap kenderaan yang melakukan parkir berganda atau menghalang lalu lintas.
“Kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera apabila kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu.
“Sebelum penundaan, anggota penguat kuasa memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan. Jika arahan tidak dipatuhi, penundaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir untuk membuka semula laluan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Antara kawasan yang sering menerima aduan ialah Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.
Dalam pada itu, DBKK memaklumkan terdapat kira-kira 20,000 petak parkir di pusat bandar, termasuk 4,005 petak parkir awam serta kemudahan di beberapa premis swasta.
Pemilik kenderaan yang ditunda diminta menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi menguruskan tuntutan, manakala permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan terhadap jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan.
DBKK turut menjelaskan pihaknya tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir.
Menurutnya, lelongan setakat ini hanya membabitkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan.
Sabin berkata, orang ramai perlu menggunakan parkir yang sah dan merancang perjalanan bagi memastikan laluan awam tidak terhalang serta bandar raya kekal teratur dan selamat.

