Anwar gesa Sabah Electricity percepat pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepat kerja pemulihan bekalan elektrik yang menjejaskan lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan kejadian menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita terhadap gangguan berkenaan yang menimbulkan kesulitan kepada penduduk, khususnya pelajar yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dukacita dengan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan sehingga lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan runtuhnya sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.

“Gangguan ini menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, terutama bagi anak-anak yang sedang membuat persiapan untuk menduduki SPM,” katanya menerusi hantaran di Threads pada Sabtu.

Sehubungan itu, Anwar mahu Sabah Electricity mempercepat usaha pemulihan bagi memastikan bekalan elektrik dapat dikembalikan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Terdahulu, menara penghantaran elektrik T313 di Ranau dilaporkan tumbang awal pagi Khamis, menjejaskan kedua-dua litar talian penghantaran sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.

Sabah Electricity sebelum ini memaklumkan pasukan teknikal syarikat berkenaan menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi kejadian.

Berita Berkaitan