Anwar pengerusikan mesyuarat MTPMA63 pagi ini
KOTA KINABALU, 11 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pagi ini.
Menurut Bernama, mesyuarat yang dijadual bermula jam 8.30 pagi itu merupakan agenda utama dalam siri lawatan Perdana Menteri ke Sabah.
Mesyuarat turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Selepas mesyuarat, Anwar dijadual menunaikan solat Jumaat bersama komuniti setempat di Masjid Jamek Kampung Likas pada jam 12 tengah hari.
Beliau kemudian akan melawat Pusat Pemindahan Sementara mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serba Guna Damai pada jam 1.50 tengah hari bagi meninjau keadaan serta kebajikan penduduk terjejas.
Kebakaran pada 30 Ogos lalu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air dan mengorbankan tiga mangsa.

