Arthur akan bawa isu air UMS ke Kabinet
KOTA KINABALU: Masalah bekalan air yang membelenggu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak beberapa tahun lalu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri bagi mendapatkan perhatian dan tindakan segera.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, isu berkenaan disampaikan kepadanya ketika menghadiri program Minggu Suai Mesra bersama pelajar baharu UMS.
Menurutnya, sebagai anggota Jemaah Menteri yang berasal dari Sabah, masalah dihadapi mahasiswa berkenaan dekat di hatinya dan perlu diberikan perhatian.
“Saya akan menggunakan ruang yang ada untuk berbincang dengan menteri-menteri berkaitan dan juga membangkitkan isu ini di peringkat Jemaah Menteri.
“Harapan saya supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin bagi membantu memenuhi keperluan mahasiswa yang berada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur mengingatkan mahasiswa supaya mempersiapkan diri menghadapi perubahan dunia pekerjaan susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi baharu.
Katanya, mahasiswa hari ini hanya akan memasuki pasaran pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan ketika itu skop pekerjaan mungkin berubah dengan ketara.
Mengulas perkembangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah kementeriannya, Arthur berkata lapan lot tanah Persekutuan telah dikembalikan kepada kerajaan Sabah sejak beliau menerajui kementerian.
Beliau berkata, pindaan undang-undang bagi membolehkan penurunan kuasa pengurusan buangan terjadual kepada Sabah dan Sarawak juga sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, Sabah perlu menyediakan punca kuasa melalui perundangan negeri sebelum kuasa berkenaan dapat diturunkan sepenuhnya.

