Arthur umum RM10,000 perkasa kebajikan warga emas Pensiangan
NABAWAN:
Kebajikan warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya di kawasan pedalaman Sabah, perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan tiada kelompok masyarakat tercicir daripada menikmati pembangunan negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tanggungjawab menjaga kebajikan golongan berkenaan tidak seharusnya diletakkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat serta pertubuhan komuniti.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan permulaan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pensiangan bagi membantu operasi pusat berkenaan serta mempergiat pelaksanaan program harian untuk golongan warga emas.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, usaha itu penting bagi memastikan warga emas terus menjalani kehidupan aktif, sihat dan produktif meskipun berada di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Citra Minda Intergenerasi (CMI) Sabah 2026 anjuran PAWE Pensiangan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah dan Pejabat Kebajikan Daerah Nabawan, di sini, hari ini.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 400 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai acara berjalan santai (fun walk).
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk senamrobik, sukaneka, pemeriksaan kesihatan serta sesi perkongsian ilmu yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan masyarakat.
Menurut Arthur, Malaysia kini secara rasmi dikategorikan sebagai negara menua apabila 8.4 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Katanya, perkembangan itu menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam memastikan golongan warga emas terus mendapat perhatian dan peluang menyumbang kepada masyarakat.
“Hubungan antara generasi amat penting kerana warga emas mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang boleh dikongsikan, manakala generasi muda pula mampu menyumbang tenaga serta kemahiran baharu,” katanya.
Beliau berkata, program di bawah kerangka Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) itu menyediakan ruang pertemuan yang mesra, selamat dan bersesuaian dengan kemampuan peserta.
Dalam pada itu, Arthur turut menzahirkan penghargaan terhadap Pertubuhan Dalam Komuniti OKU Daerah Nabawan yang aktif membantu kanak-kanak OKU mendapatkan perhatian dan sokongan sewajarnya.
Katanya, setiap anak OKU berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan disayangi tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan tempat tinggal.
Beliau berharap usaha memperkasakan PAWE Pensiangan dapat diteruskan dengan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan warga emas tidak terpinggir daripada aktiviti kemasyarakatan.
— SABAH NEWS TODAY

