Banjir Sepanggar berlarutan, Mustapha gesa tindakan segera
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menggesa tindakan segera dan penyelesaian menyeluruh bagi menangani masalah banjir berulang di Sepanggar dan kawasan sekitarnya, termasuk Inanam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sekali lagi menimbulkan kebimbangan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di lokasi berisiko banjir kilat dan tanah runtuh.
Menurutnya, masalah banjir di Sepanggar bukan perkara baharu, sebaliknya isu berlarutan yang memerlukan perhatian serius serta tindakan berterusan daripada semua pihak berkaitan.
“Isu banjir di Sepanggar bukan perkara baharu. Ia merupakan masalah berlarutan yang memerlukan perhatian serius, penelitian menyeluruh dan tindakan berterusan daripada semua pihak berkaitan,” katanya.
Mustapha berkata, beliau telah melawat beberapa kawasan bagi meninjau keadaan semasa serta melihat sendiri situasi yang dihadapi penduduk susulan hujan lebat.
Katanya, masalah berkenaan akan terus dibawa kepada pihak berkaitan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan penelitian menyeluruh dapat dilaksanakan sebelum tindakan susulan yang segera dan berkesan diambil.
“Keselamatan dan kebajikan penduduk tidak boleh dipandang ringan.
“Usaha mencari penyelesaian terhadap masalah banjir yang berlarutan ini perlu diteruskan dengan kerjasama erat antara semua agensi berkaitan agar langkah sewajarnya dapat dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya.
Mustapha menegaskan, kerjasama antara agensi amat penting bagi mengenal pasti langkah bersesuaian untuk mengurangkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Beliau turut berharap penduduk Sepanggar dan kawasan sekitarnya sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika menghadapi cuaca buruk.
— SABAH NEWS TODAY

