BAS.MY rekod 194,265 penumpang di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Perkhidmatan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS.MY terus mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan 194,265 penumpang di Kota Kinabalu setakat 10 Ogos lalu.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, perkhidmatan yang turut dikenali sebagai “Bas Pink” itu kini beroperasi sepenuhnya menerusi lapan laluan utama dengan 48 bas.
Menurutnya, keutamaan LPKP adalah memastikan perkhidmatan berkenaan dapat membantu penduduk sekitar Kota Kinabalu, khususnya golongan muda, mengurangkan beban kos sara hidup menerusi tambang rendah dan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Keutamaan LPKP adalah memastikan perkhidmatan berkenaan dapat membantu penduduk sekitar Kota Kinabalu, khususnya golongan muda meringankan beban kos sara hidup menerusi tambang rendah dan perkhidmatan yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BAS.MY dilancarkan pada 27 September tahun lalu sebelum memasuki fasa percubaan kira-kira sebulan kemudian, manakala kesemua lapan laluan utama mula beroperasi sepenuhnya bagi menghubungkan kawasan sekitar Kota Kinabalu pada 11 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Lembaga Bilangan Ke-6 Tahun 2026 turut bersetuju memudah cara permohonan lesen Pembawa A dengan membenarkan pengusaha memohon lesen penggerak utama atau semi-trailer secara berasingan bagi merancakkan sektor logistik.
LPKP Sabah juga meluluskan kebenaran kepada pengusaha bas sekolah untuk beroperasi ke luar daerah tanpa perlu memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS), selepas pekeliling berkaitan dikeluarkan.
Kebenaran itu membolehkan pengusaha bas sekolah menerima tempahan terus daripada pihak sekolah untuk membawa pelajar dan warga pendidik sahaja.

