Bas persiaran hilang kawalan ketika turun bukit, lima cedera parah
PAPAR: Detik cemas 21 individu apabila bas persiaran yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 tengah hari itu, lima mangsa dilaporkan cedera parah, termasuk warga emas yang mengalami kecederaan serius pada anggota badan.
Lebih mencemaskan, lima mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan orang awam yang tampil memberikan bantuan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 1.34 tengah hari.
Susulan itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis serta BBP Papar dikejarkan ke lokasi sejauh 25 kilometer.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 1.58 tengah hari, didapati sebuah bas persiaran membawa 21 individu terbabas ke bahu jalan.
“Lima mangsa yang dilaporkan tersepit berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba,” menurut kenyataan itu.
Antara mangsa cedera parah ialah lelaki berusia 64 tahun yang mengalami kecederaan kepala, dada dan bahu, manakala wanita berusia 66 tahun cedera di dada serta patah kaki.
Seorang wanita berusia 60 tahun pula cedera di kepala dan pipi serta patah jari, sementara wanita berusia 61 tahun mengalami kecederaan dada dan patah jari.
Mangsa kelima, lelaki berusia 71 tahun, dilaporkan patah tangan dan kaki selain mengalami bengkak pada muka.
Pasukan bomba bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal sebelum mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Difahamkan, semua 21 individu terbabit adalah warganegara Malaysia dan sedang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Operasi menyelamat diketuai PBK I Nazir Chek Lah dengan bantuan enam anggota BBP Kimanis dan dua anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Papar.
Operasi berjaya dikawal pada jam 2.42 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

