Bas Pink boleh jadi pemangkin budaya pengangkutan awam baharu di KK
KOTA KINABALU : Perkhidmatan Pink Bus berpotensi menjadi pemangkin kepada budaya pengangkutan awam lebih moden di Kota Kinabalu sekiranya aspek ketepatan masa, akses dan keselesaan pengguna terus dipertingkatkan.
Ketua Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan Politeknik Kota Kinabalu, Noel Marcellus Micheal, berkata masyarakat Sabah sudah lama bergantung kepada kenderaan persendirian akibat pilihan pengangkutan awam yang terhad.
Katanya, keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan dan kesesakan jalan raya.
Menurut Noel, persepsi bahawa pengangkutan awam hanya digunakan mereka yang tidak memiliki kereta perlu diubah.
“Pengangkutan awam sepatutnya dilihat sebagai pengangkutan pintar. Ia menjimatkan wang, mengurangkan kenderaan di jalan raya dan boleh mengurangkan masalah kesesakan serta parkir,” katanya.
Beliau berkata, kepercayaan pengguna hanya boleh dibina sekiranya bas beroperasi secara konsisten dan menepati jadual.
Selain itu, katanya, kemudahan untuk pengguna sampai ke hentian bas dan meneruskan perjalanan selepas turun juga perlu diberi perhatian.
Ini termasuk laluan pejalan kaki yang selamat, tempat berteduh serta kemudahan mesra warga emas, kanak-kanak dan OKU.
Noel berkata, Pink Bus sudah menawarkan beberapa kemudahan moden seperti pembayaran tanpa tunai serta kad konsesi untuk pelajar, warga emas dan OKU.
Beliau turut melihat peluasan laluan Pink Bus sebagai perkembangan positif dalam menghubungkan kawasan kediaman, tempat kerja, sekolah, kawasan komersial dan kemudahan awam.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan perkhidmatan itu memerlukan sokongan lebih luas termasuk penambahbaikan infrastruktur pejalan kaki, hentian bas dan perancangan laluan.
Noel turut menggalakkan orang ramai mencuba perkhidmatan itu dari semasa ke semasa.
Katanya, peningkatan permintaan pengguna penting bagi memastikan sistem pengangkutan awam Kota Kinabalu terus berkembang dan bertambah baik.

