‘Buka tutup, buka tutup… apalaituhh!’ – Pengguna persoal isu Jambatan Tamparuli
TAMPARULI: Isu Jambatan Tamparuli yang didakwa kerap dibuka dan ditutup kembali menjadi perhatian selepas seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan laluan berkenaan.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @syafiq_ahadin mempersoalkan masalah jambatan itu yang didakwanya masih berulang walaupun pernah mendapat perhatian sebelum ini.
“Buka tutup buka tutup. Apalaituhh. Berabis kunu wayang awal tahun tu hari mo tutup bagai, sekali ehh teda perubahan.
“Jambatan Tamparuli, Konoha,” tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan rakaman video memperlihatkan sebuah kenderaan melalui laluan jambatan berkenaan yang kelihatan basah.
Luahan tersebut menyusul selepas jambatan itu dilaporkan ditutup akibat limpahan air banjir, petang Selasa.
Terdahulu, seorang pengguna Threads, @macsond64, berkongsi gambar palang keselamatan ditutup bagi menghalang kenderaan memasuki laluan jambatan yang dilimpahi air.
Perkembangan itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah yang didakwa berulang di jambatan berkenaan.
Pengguna jalan raya turut berharap pihak berkaitan dapat memberikan penjelasan mengenai langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan penduduk setempat.
Bagaimanapun, masa sebenar rakaman video terbaharu itu dibuat serta status rasmi pembukaan jambatan ketika berkenaan belum dapat disahkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan dan tidak meredah laluan sekiranya jambatan ditutup akibat peningkatan paras air sungai.

