Disyaki curi sawit, sekali ‘kantoi’ positif dadah

BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki mencuri buah sawit di kebun milik orang lain di Kampung Darat, Menumbok, ditahan polis sebelum didapati positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, suspek berjaya dikesan hasil tindakan pantas anggota Balai Polis Menumbok selepas menerima maklumat daripada pemilik kebun.

Menurutnya, pengadu mendakwa buah sawit di kebunnya kerap hilang dan sebelum itu menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali bersama sebuah kenderaan yang membawa beberapa tandan buah sawit.

Bagaimanapun, ketika itu pengadu tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengesahkan buah sawit berkenaan diambil dari kebunnya.

“Hasil tindakan susulan, anggota Balai Polis Menumbok berjaya mengesan dan menahan suspek,” katanya.

Champin berkata, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Beaufort untuk menjalani saringan air kencing.

Hasil ujian mendapati lelaki berkenaan positif methamphetamine.

Suspek diserahkan kepada BSJND IPD Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Berkaitan