Felo SMJ tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah

KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar program
pembangunan belia, sebaliknya menjadi tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah
dalam membentuk generasi yang mampu memimpin, menggerakkan ekonomi dan
menentukan hala tuju negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pemilihan peserta
sebagai Felo SMJ bukan sekadar untuk menyertai satu program, sebaliknya satu
kepercayaan, amanah dan pelaburan terhadap masa depan Sabah.
Beliau berkata, peserta dipilih kerana kerajaan negeri melihat potensi dan bakat mereka
untuk berada di barisan hadapan membuat keputusan, memimpin organisasi,
menggerakkan ekonomi dan menentukan hala tuju negeri.

“Saya mahu melihat para Felo SMJ bukan sekadar sebagai satu peluang untuk
menambah pengalaman, tetapi sebagai satu tanggungjawab untuk mempersiapkan diri
menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membawa Sabah ke hadapan,”
katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 di Dewan
Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, menerusi Felo SMJ 5.0, beliau mahu program itu terus berkembang bukan
sekadar dari segi jumlah penyertaan atau aktiviti, tetapi lebih penting dari segi impaknya
kepada masa depan anak-anak Sabah.

“Kita mahu mereka yang menyertai program ini keluar dengan pemikiran yang lebih
matang, keyakinan yang lebih tinggi, jaringan yang lebih luas dan kemampuan sebenar
untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat menghargai komitmen syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) yang selama ini bersama-sama menjayakan Program Felo SMJ dengan
membuka pintu kepada anak-anak muda untuk mendapat pendedahan kepada dunia
sebenar pengurusan, pentadbiran dan korporat.

Bagi Felo SMJ 5.0, Hajiji mahu pembangunan modal insan anak Sabah menjadi
sebahagian daripada komitmen utama GLC di negeri ini dan bukan sekadar satu
program atau tanggungjawab sosial korporat.

“Pembangunan bakat anak Sabah mesti menjadi sebahagian daripada agenda kita
membangunkan negeri ini. Sabah mempunyai ramai anak Sabah yang pintar, kreatif,
mempunyai keberanian dan bercita-cita besar, namun ada yang mungkin hanya
memerlukan satu peluang atau seorang mentor untuk menyerlah.

“Kita tidak mahu membina bakat hanya untuk kemudian melihat bakat itu terpaksa pergi
jauh kerana mereka tidak menemukan ruang untuk menyerlah di negeri sendiri. Kita
mahu anak Sabah mempunyai pilihan untuk membina masa depan di sini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Sabah memerlukan
modal insan yang berdaya saing untuk memacu fasa transformasi negeri ke arah
ekonomi masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.

Katanya, ciri modal insan yang diperlukan termasuk melahirkan tenaga kerja mahir yang
memenuhi keperluan industri moden, celik teknologi dan digital, mempunyai nilai integriti
yang tinggi dan kreatif.

“Sebab itu bagi saya, Felo SMJ bukan sekadar program pembangunan belia. Ia adalah
tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang
dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi lebih penting pemimpin yang berjiwa rakyat, mampu
menyelami denyut nadi komuniti, membawa suara rakyat ke meja dasar dan menjulang
semangat cintakan negeri ini melebihi kepentingan diri.

Beliau mahu Felo SMJ 5.0 menggunakan peluang itu sebagai medan kepimpinan untuk
membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian serta meletakkan integriti sebagai
teras diri.

Berita Berkaitan