Gegaran kecil di Kinabatangan, bomba lakukan rondaan

KINABATANGAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi sekitar daerah ini susulan laporan kejadian gegaran kecil gempa bumi, awal pagi Sabtu.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan menerusi talian balai pada jam 6.21 pagi sebelum enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan.

Menurut kenyataan itu, rondaan melibatkan pemeriksaan di Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam, Bukit Garam Point serta beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan.

Penduduk juga diminta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kerosakan atau berlaku kecemasan.

Operasi diketuai PBK I Jasmani Osni itu ditamatkan pada jam 7 pagi selepas pemeriksaan selesai dan keadaan didapati selamat serta terkawal.

Berita Berkaitan