Guru cedera parah, tiga pelajar cedera nahas Hilux dan Aruz
BELURAN: Seorang guru wanita cedera parah manakala tiga pelajar perempuan cedera ringan selepas Perodua Aruz dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Jalan Pamol Sapi Nangoh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, empat lagi individu yang menaiki Toyota Hilux turut mengalami kecederaan ringan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah hari sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 1.58 tengah hari selepas menempuh perjalanan sejauh 104 kilometer.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Aruz dengan keseluruhan lapan mangsa.
“Pemandu Perodua Aruz yang juga guru wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan parah, manakala tiga penumpangnya yang terdiri daripada pelajar perempuan cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, empat individu dalam Toyota Hilux pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
“Semua mangsa yang memerlukan rawatan diberikan bantuan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.
“Tiada operasi menyelamat dijalankan kerana semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Azman Asimin bersama lima anggota tamat pada jam 2.07 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

