Hampir 100,000 kandungan scam diturunkan setakat Julai
JOHOR BAHRU: Sebanyak 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk scam diturunkan setakat 15 Julai tahun ini, melebihi 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam tempoh sama sebanyak 106,268 permohonan penurunan kandungan dikemukakan kepada platform media sosial termasuk Meta, TikTok dan YouTube, berbanding 102,113 permohonan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara jumlah permohonan dan kandungan yang diturunkan kerana platform media sosial mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kandungan perlu diturunkan.
“Walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC, platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.
“Namun, untuk kes scam kadar pematuhan platform biasanya melebihi 90 peratus,” katanya selepas Program MADANI Kita 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Taman Desa Skudai.
Dalam perkembangan lain, Teo mengingatkan masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang mengikut tatacara yang betul sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, Jabatan Penerangan turut melaksanakan kempen “1Rumah 1Jalur Gemilang” sepanjang Ogos hingga September bagi menggalakkan masyarakat mengibarkan bendera kebangsaan dengan betul.
Beliau berkata pihaknya turut menerima aduan mengenai tindakan penguatkuasaan yang berbeza mengikut lokasi berkaitan isu pemasangan Jalur Gemilang.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian supaya tidak menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat untuk mengibarkan bendera negara.

