Hilang kawalan, Triton rempuh pokok
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas Mitsubishi Triton dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam berhampiran Chan Furniture itu, mangsa memandu bersendirian dari arah Tebobon menuju pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar pokok.
Katanya, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan anggota bomba.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi pada jam 1.31 pagi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan, selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan mematuhi peraturan lalu lintas.

