Ibu, dua anak lelaki maut kereta rempuh pokok sawit di Tawau
TAWAU: Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut, manakala anak perempuannya berusia 15 tahun cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di Batu 14, Jalan Apas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi Isnin itu, tiga mangsa berusia 50, 30 dan 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala remaja perempuan terbabit mengalami kecederaan serius pada tulang rusuk dan perut.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Bahagia, Sandakan ke bandar Tawau ketika kemalangan berlaku.
Menurutnya, kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kenderaan kemudian merempuh pokok kelapa sawit, terseret kira-kira 60 meter sebelum terbalik.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 10.16 pagi, manakala remaja perempuan yang terselamat dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan di Zon Merah,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, pemeriksaan awal mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya, kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM, manakala mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau bagi bedah siasat.
Polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya, had laju serta memastikan memiliki lesen memandu yang sah sebelum memandu.
— SABAH NEWS TODAY

