Isu warga asing kuasai ekonomi haram Semporna dibawa ke Kabinet

SEMPORNA: Isu warga asing yang didakwa menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan perniagaan secara haram di Semporna kini mendapat perhatian Kabinet Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan memandang serius kegiatan berkenaan yang berpotensi menjejaskan ekonomi penduduk tempatan serta keselamatan kawasan pelancongan.

Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu sedang dilaksanakan, khususnya di pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong di daerah itu.

“Perkara ini sedang diambil tindakan, ada operasi-operasi yang diadakan terutama dari segi perniagaan di pulau-pulau.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut membincangkan perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, hari ini.

Mustapha mengulas laporan khas bersiri Bernama pada Ogos lalu yang mendedahkan dakwaan penguasaan rantaian ekonomi pelancongan di Semporna oleh pelabur asing menerusi kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Laporan itu turut mengetengahkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap peluang perniagaan masyarakat tempatan dan keselamatan kawasan pelancongan.

Menurut laporan berkenaan, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mendedahkan modus operandi yang didakwa digunakan termasuk menguasai perkhidmatan, pusat peranginan dan kemudahan pelancongan menerusi perkongsian perniagaan tidak sah atau kaedah ‘Ali Baba’.

Kegiatan sedemikian turut dikhuatiri membuka ruang kepada jenayah lain termasuk operasi pusat penipuan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengarahkan ESSCOM melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan bagi menangani isu berkenaan.

Kerajaan Persekutuan dijangka meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan ekonomi dan industri pelancongan Semporna mematuhi undang-undang serta melindungi kepentingan pengusaha tempatan.

Berita Berkaitan