Jalan Kayu Madang perlu diiktiraf sebagai laluan utama, bukan lagi jalan pintas

KOTA KINABALU: Jalan Kayu Madang perlu diklasifikasikan semula sebagai laluan utama berikutan pertumbuhan pesat pembangunan di sekitar Tuaran, Telipok dan Sepanggar yang menyaksikan peningkatan mendadak jumlah kenderaan menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan Politeknik Kota Kinabalu, Anbukkarasu Paramasivam berkata, jalan yang sebelum ini dianggap sebagai laluan alternatif atau jalan pintas kini telah berubah menjadi koridor pengangkutan utama menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, kawasan perindustrian serta pusat bandar Kota Kinabalu.

Menurut beliau, kesesakan luar biasa yang berlaku baru-baru ini membuktikan infrastruktur sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah trafik semasa.

“Persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa sebuah jalan yang kini memikul beban trafik setaraf jalan utama masih dirancang dan diselenggara seperti jalan kampung,” katanya.

Beliau berkata, kesesakan itu turut mendedahkan kelemahan sistem rangkaian jalan raya atau network redundancy, apabila gangguan di Jalan Kayu Madang menyebabkan aliran trafik gagal diagihkan ke laluan lain.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan kesesakan teruk di Bulatan Sulaman, Bulatan Norowot serta persimpangan utama Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sekali gus melumpuhkan keseluruhan rangkaian trafik di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha menaik taraf jalan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk pembesaran sistem perparitan bagi mengelakkan masalah banjir dan takungan air terus berulang.

Selain isu infrastruktur, katanya, kesesakan yang berpanjangan memberi kesan kepada keluarga apabila ramai pelajar lewat ke sekolah, selain menjejaskan produktiviti pekerja dan meningkatkan tekanan mental pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji semula klasifikasi Jalan Kayu Madang sebagai jalan utama, membina laluan alternatif, menaik taraf sistem saliran, memasang lampu isyarat pintar di persimpangan kritikal serta memperluaskan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk Bus Pink KK.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan serta wakil rakyat kawasan Sepanggar dan Karambunai perlu melihat isu berkenaan sebagai keutamaan memandangkan Jalan Kayu Madang kini menjadi nadi pengangkutan penting di utara Kota Kinabalu.

Berita Berkaitan