Jalur Gemilang, bendera Sabah semarakkan sambutan kebangsaan di KK

KOTA KINABALU: Sebanyak 200 magnet Jalur Gemilang dan bendera Sabah untuk kenderaan diedarkan kepada orang ramai menerusi Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), hari ini.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, berkata program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif nasional yang berlangsung serentak di 15 stesen PETRONAS terpilih di seluruh negara.

Menurutnya, program tersebut bertujuan menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, selain memperluas Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG).

Inisiatif di bawah kluster industri itu digerakkan menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan PETRONAS dengan penglibatan sektor korporat dalam agenda kenegaraan.

Jainisah berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar menggalakkan pengibaran bendera, malah menjadi platform menyampaikan mesej patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat.

Program itu turut menerima kehadiran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bersama wakil Maritim Malaysia, JPJ, JBPM, FINAS, TM, RTM dan Maxim.

Menurut Jainisah, kempen 1R1JG akan diteruskan ke beberapa kluster lain termasuk rumah ibadat, sekolah, institusi pendidikan tinggi, persatuan sukan dan premis keselamatan.

JAPEN Sabah menyasarkan setiap kediaman serta premis dapat mengibarkan sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang dan satu bendera Sabah sebagai sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Berita Berkaitan