Jamawi sasar SSL padi Sabah cecah 30 peratus dalam lima tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan tahap sara diri (SSL) bagi tanaman padi di negeri ini meningkat sekurang-kurangnya kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi pembukaan kawasan sawah baharu, pembangunan mini estet serta penggunaan teknologi dan jentera pertanian yang lebih sistematik.

Katanya, setakat ini enam mini estet telah dibangunkan bersama agensi berkaitan dengan keluasan keseluruhan lebih 1,000 hektar, termasuk di Kota Belud, Kota Marudu, Pitas dan Kuala Penyu.

Menurutnya, usaha membuka kawasan sawah baharu penting bagi meningkatkan keluasan tanaman padi, termasuk kawasan yang sebelum ini tidak diusahakan sehingga 10 hingga 15 tahun.

“Yang pentingnya petani kita akan mendapat dan seterusnya tanggungjawab kita untuk meningkatkan SSL ini akan tercapai,” katanya.

Jamawi turut berkata kerajaan negeri perlu memastikan kemudahan pusat servis serta bekalan alat ganti disediakan bagi mengelakkan kerosakan jentera mengganggu operasi pesawah.

Beliau berkata teknologi pertanian juga perlu dimanfaatkan khususnya dalam kalangan golongan muda supaya mereka mempunyai kemahiran mengendalikan dan membaiki jentera pertanian.

Jamawi berkata Sabah ketika ini masih bergantung kepada import beras dengan sekitar 80 peratus keperluan negeri diperoleh dari luar, termasuk Vietnam dan Thailand, dengan nilai import kira-kira RM1.2 bilion setahun.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan kira-kira RM25 juta setahun yang diluluskan bagi Lembaga Padi Negeri Sabah untuk tempoh lima tahun perlu dibincangkan supaya dapat digunakan untuk pembangunan sawah padi mengikut keperluan dan acuan Sabah sendiri.

Beliau berkata perbincangan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dijadualkan bagi membincangkan kaedah penggunaan peruntukan tersebut untuk pembangunan sektor padi negeri.

Jamawi yakin dengan kerjasama semua pihak serta sokongan kepada pesawah, industri padi Sabah mampu berkembang dan SSL negeri dapat ditingkatkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berita Berkaitan