Jari lelaki tersepit mesin pengisar ikan

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 26 tahun berdepan detik cemas apabila jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar ikan di Tian Sia, di sini, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.11 petang sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerahkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati mangsa mengalami kecederaan selepas jarinya tersepit di dalam mesin berkenaan.

Komander Operasi, PBK I Syamzari Ganih berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk melepaskan jari mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian jari tangan kanan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi membabitkan sebuah jentera FRT dan EMRS dengan kekuatan lapan anggota itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.25 petang selepas keadaan dipastikan selamat.

Berita Berkaitan