Jerry persoal sikap Pemuda UMNO, cabar lapor polis terhadap Badan Peguam
KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Malaysia digesa menunjukkan pendirian konsisten dalam isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengambil tindakan terhadap Badan Peguam Malaysia yang mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata, tindakan badan guaman itu sepatutnya mendapat bantahan tegas daripada Pemuda UMNO sebagaimana pendirian mereka sebelum ini terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Badan Peguam Malaysia menimbulkan persoalan berhubung penghormatan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat dengan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
“Jika benar mereka memperjuangkan isu ini dan mahu mempertahankan institusi diraja, mengapa tidak mengambil pendirian tegas yang sama terhadap tindakan Badan Peguam Malaysia?” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Jerry berkata, antara asas cabaran Badan Peguam Malaysia ialah hujah bahawa tahanan rumah tidak termasuk dalam takrif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau pada masa sama menyokong bantahan AGC terhadap permohonan badan guaman itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Katanya, pendirian AGC bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan Lembaga Pengampunan tidak boleh diadili mahkamah perlu diberikan perhatian.
Sehubungan itu, Jerry mencabar Pemuda UMNO supaya membuat laporan polis terhadap tindakan Badan Peguam Malaysia sekiranya benar-benar mahu mempertahankan pendirian mereka berhubung isu pengampunan Najib.
Beliau menegaskan, UMNO tidak seharusnya dilihat mengamalkan pendirian berbeza berdasarkan pihak yang terbabit, sebaliknya perlu konsisten dalam menyuarakan bantahan.
Katanya, isu berkenaan perlu diberikan perhatian serius kerana membabitkan persoalan kuasa pengampunan dan peranan institusi Yang di-Pertuan Agong.

