Kestabilan politik tiada makna jika masalah rakyat gagal diselesaikan – Hajiji
KUDAT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan kestabilan politik tidak membawa sebarang makna sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan masalah asas yang membelenggu rakyat, khususnya bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Beliau berkata, selepas lima tahun memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan politik, memperkukuh kewangan negeri dan meningkatkan keyakinan pelabur, kerajaan Sabah kini bersedia memasuki fasa baharu pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, kestabilan yang dicapai perlu dimanfaatkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur, menarik pelaburan dan merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan. Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, pada Ahad.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, peningkatan hasil negeri sehingga mencecah RM7 bilion setahun bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi pembangunan, peluang ekonomi dan pendidikan.
250 projek infrastruktur dan bekalan air
Mengulas masalah infrastruktur asas, Hajiji mengakui rakyat Sabah masih berdepan gangguan bekalan air, elektrik serta keadaan jalan raya yang memerlukan perhatian serius.
Katanya, kerajaan negeri sedang melaksanakan 173 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Masalah yang telah wujud sejak puluhan tahun tidak boleh, malah mustahil dapat diselesaikan dalam satu malam.
“Tetapi yang penting, kerja-kerja sedang dijalankan. Walau sesukar mana pun cabarannya, kerajaan negeri tidak akan berhenti sehingga segala masalah dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau menjelaskan, projek terbabit merangkumi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, jambatan, loji rawatan air serta sistem bekalan air yang memerlukan proses reka bentuk, pengambilan tanah, tender dan pembinaan.
Tuntutan MA63 terus diperjuangkan
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya membabitkan hak ekonomi dan kewangan negeri.
Menurutnya, rundingan bersama Kerajaan Persekutuan dilaksanakan berasaskan fakta, data kewangan dan perundangan bagi memastikan tuntutan Sabah memberikan hasil yang nyata.
“Yang penting, Sabah mendapat hasil. Yang sudah muktamad, kita laksanakan; dan yang masih interim, kita usahakan sehingga dimuktamadkan.
“Yang belum selesai, kita teruskan rundingan dengan hujah dan asas yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam sektor minyak dan gas, beliau berkata, pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS pada 2021 membuka ruang penyertaan lebih besar kepada Sabah.
Katanya, menerusi SMJ Energy, Sabah kini mempunyai 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang.
Penyertaan vendor tempatan turut meningkat daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak pada 2025.
Biasiswa negeri meningkat kepada RM155 juta
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh pembangunan modal insan dengan meningkatkan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta tahun ini.
Menurutnya, hampir 480,000 pelajar telah menerima manfaat pelbagai bantuan pendidikan termasuk BUDI, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan mahasiswa menerusi SUBFLY.
Beliau turut berkongsi pengalaman hidup ketika keluarganya terpaksa meminjam RM15 daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan Tingkatan Tiga pada 1971.
“Sekiranya kerajaan berkemampuan untuk menghilangkan satu halangan daripada perjalanan hidup seorang anak Sabah untuk maju dan berjaya, maka kita harus hilangkan halangan tersebut.
“Sekurang-kurangnya jangan kita biarkan kemiskinan menentukan nasib mereka sebelum mereka sempat mencuba,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, Hajiji berkata, kerajaan turut meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan inisiatif Rumah Mesra SMJ bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Katanya, sebanyak 11,000 rumah sudah dan sedang dibina, manakala pembinaan 50 Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diteruskan tahun ini.
Beliau menegaskan, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat perlu bergerak seiring supaya kemakmuran Sabah dapat dinikmati seluruh masyarakat, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
— SABAH NEWS TODAY

