Kitchen Killer RTM ungguli aksi pickleball Hari Malaysia
KOTA KINABALU: Kitchen Killer RTM Sabah mengungguli perlawanan persahabatan pickleball bersama 3G Pickleball yang berlangsung di Kompleks Sukan Tun Adnan sempena sambutan Hari Malaysia.
Pertemuan itu menghimpunkan warga kerja RTM Sabah dan guru SMK Sanzac Kota Kinabalu dalam usaha mengeratkan silaturahim, selain menyemarakkan semangat perpaduan menerusi sukan.
Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan RTM Sabah, Nika Andy Anthony berkata, sukan mampu menjadi medium penyatuan kerana memberi ruang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi dan bekerjasama.
Katanya, penganjuran itu juga menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif selain memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Pengurus 3G Pickleball, Abdul Wahab Ibrahim pula berkata, penglibatan guru dalam program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan, malah merapatkan hubungan antara warga pendidik dan media.
Aksi berlangsung dalam suasana ceria dan kompetitif dengan peserta saling berbalas pukulan sambil mengekalkan semangat persahabatan.
Penganjuran itu turut membawa mesej perpaduan, kerjasama dan toleransi selaras dengan semangat sambutan Hari Malaysia.

