KMJG Sipitang semarak patriotisme
SIPITANG: Semangat patriotisme terus disemarakkan menerusi Program Langkah Jiwa Merdeka sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Sipitang 2026 yang disertai pelbagai agensi, institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Pegawai Daerah Sipitang, Abd Karim M. Zahari berkata, program itu membabitkan konvoi berjalan kaki bermula dari Pejabat Daerah Sipitang bagi menyemarakkan semangat cintakan negara, selain memperkasa Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Katanya, konvoi melalui beberapa lokasi termasuk Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sipitang, Pos Malaysia Cawangan Sipitang, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang, KEMAS Sipitang dan SJK(C) Chung Hwa Sipitang sebelum berakhir di Majlis Daerah Sipitang.
“Ia menjadi simbolik komitmen bersama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, Jumaat.
Menurutnya, masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, pejabat kerajaan, premis perniagaan, bangunan awam dan institusi pendidikan sebagai tanda kecintaan kepada negara.
Katanya, program itu turut dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, selain memperkukuh hubungan Jabatan Penerangan Malaysia dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.
Abd Karim berkata, kemuncak Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 Peringkat Daerah Sipitang akan berlangsung pada 22 Ogos di Kampung Mendulong, sambil menyeru masyarakat hadir memeriahkan sambutan serta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

