KTC Mega Sale catat jualan lebih RM2 juta dalam tiga hari
KOTA KINABALU: KTC Consolidated Berhad mencatat jualan melebihi RM2 juta setakat 12 tengah hari pada hari terakhir KTC Mega Sale di Kolombong, sekali gus menunjukkan sambutan kukuh pengguna terhadap program jualan tiga hari itu.
Pengarah Eksekutif KTC Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau, berkata jumlah berkenaan dicapai sebelum program berakhir dan pihaknya menjangkakan nilai jualan terus meningkat dalam baki lima jam terakhir.
“Jualan kami setakat 12 tengah hari sudah melebihi RM2 juta dan kami optimis untuk meningkatkan lagi jumlah itu dalam tempoh lima jam akan datang,” katanya.
Selain merancakkan jualan runcit, program itu turut memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta vendor tempatan untuk menjana pendapatan tambahan.
Menurut KTC, penyertaan vendor dalam acara berkenaan membantu memperluas peluang perniagaan selain menambah sumber kewangan keluarga.
KTC Mega Sale menawarkan pelbagai promosi dan tawaran terhad, termasuk diskaun sehingga 80% bagi barangan terpilih.
Program itu turut memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan rumah dan harian pada harga lebih kompetitif.

