Kuota 200 liter BUDI Diesel tidak sesuai untuk Sabah, kata Masiung
BELURAN: Kuota 200 liter di bawah skim subsidi bersasar BUDI Diesel tidak sesuai untuk Sabah dan Sarawak kerana gagal mengambil kira keluasan geografi serta keperluan sebenar rakyat di kedua-dua negeri, kata Datuk Masiung Banah.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers) DUN Sabah itu berkata, kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan kuota antara 300 hingga 500 liter bagi pengguna di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ramai penduduk pedalaman menggunakan diesel untuk pengangkutan serta penjana elektrik, namun tidak dapat menikmati subsidi kerana syarat kelayakan yang ketat.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu perlu disesuaikan dengan keadaan Sabah dan Sarawak yang mempunyai jarak perjalanan lebih jauh berbanding negeri di Semenanjung.

