KupiKupi FM cipta sejarah, tembusi pasaran radio Semenanjung
KOTA KINABALU – Stesen radio komuniti swasta dari Sabah, KupiKupi FM melakar sejarah tersendiri apabila melebarkan sayap penyiarannya ke Semenanjung Malaysia menerusi frekuensi 106.0 FM, sekali gus memperkenalkan muzik, budaya dan identiti Borneo kepada khalayak lebih luas.
Perkembangan itu menjadikan KupiKupi FM sebagai stesen radio swasta pertama dari Borneo yang memperluaskan penyiaran radio FM terestrial ke Semenanjung Malaysia, menurut kenyataan syarikat berkenaan.
Siaran menerusi frekuensi 106.0 FM kini boleh didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan termasuk Seremban, selain Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang di Selangor serta Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol berkata, pengembangan itu bukan sekadar pencapaian dalam industri penyiaran, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat Sabah dan Sarawak dengan kampung halaman mereka.
“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.
“Pada masa sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lester, KupiKupi FM tidak berhasrat mendominasi industri penyiaran, sebaliknya mahu menjadi sebahagian daripada landskap media negara yang meraikan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat.
“Kami bukan datang untuk bersaing sehingga mendominasi sesiapa. Kami hadir untuk turut serta, berkongsi budaya, muzik dan cerita kami, serta menyumbang kepada landskap penyiaran Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian,” katanya.
Bermula di Sabah, berkembang ke Sarawak
KupiKupi FM mula beroperasi pada Januari 2016 menerusi frekuensi 96.3 FM di Sabah dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan, penyiaran komuniti dan promosi kebudayaan negeri itu.
Liputan siarannya merangkumi Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran dan Kota Belud serta beberapa kawasan berhampiran.
Stesen itu kemudian memperluaskan operasinya ke Sarawak pada 9 Jun 2023 menerusi frekuensi 92.5 FM di Kuching, sekali gus menyediakan platform kepada bakat muda tempatan dalam bidang muzik, penyiaran dan penceritaan komuniti.
Selain penyiaran, KupiKupi FM turut aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan lebih 30 inisiatif dijalankan di Sabah, khususnya membantu komuniti luar bandar mendapatkan akses bekalan air.
Stesen berkenaan juga menganjurkan lima konsert utama dan sebuah festival yang menampilkan artis tempatan serta antarabangsa termasuk Repvblik, D’Masiv dan Kotak dari Indonesia.
Perkukuh industri media Borneo
Dalam perkembangan sama, OOGA X turut mengembangkan perniagaannya menerusi portal berita digital INFO X, selain menawarkan perkhidmatan pengurusan acara, promosi lapangan dan aktiviti pemasaran.
Lester berkata, kepelbagaian platform itu membolehkan syarikat berkenaan memainkan peranan sebagai penghubung strategik kepada perniagaan yang mahu memperkukuh kehadiran mereka di Sabah dan Sarawak.
“Kami mahu bakal pelanggan melihat kami sebagai penghubung dan jambatan kepada pasaran Borneo. Peranan kami melangkaui siaran radio.
“Kami juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan acara, promosi lapangan, aktivasi pemasaran dan penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pengembangan KupiKupi FM ke Semenanjung Malaysia diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan industri kreatif Borneo untuk mengetengahkan karya mereka ke peringkat nasional.
Katanya, langkah itu juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan masyarakat Malaysia Timur dan Malaysia Barat menerusi muzik, budaya serta perkongsian kisah komuniti.
“Kami mahu terus berkembang tanpa melupakan akar umbi dan masyarakat yang menjadi tunjang kepada perjalanan KupiKupi FM,”katanya.

