Lapan laluan BAS.MY Kota Kinabalu kini beroperasi penuh
KOTA KINABALU: Perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu kini beroperasi sepenuhnya membabitkan kesemua lapan laluan sejak 11 Ogos lalu, sekali gus memperluas jaringan pengangkutan awam di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah memaklumkan pengoperasian penuh itu menyusuli pelaksanaan secara berperingkat bermula 1 April menerusi laluan S01 dan S05, sebelum diperluaskan kepada S02, S03, S04, S06, S07 dan S08.
Sambutan terhadap perkhidmatan itu menunjukkan perkembangan positif apabila 194,265 penumpang direkodkan menggunakan laluan S01 dan S05 setakat 10 Ogos.
Sebanyak 48 bas baharu disediakan untuk menghubungkan pusat laluan utama di KK Sentral dan pekan Menggatal dengan kesemua lapan laluan berkenaan.
BAS.MY turut dilengkapi GPS masa nyata, pembayaran tanpa tunai, e-tiket dan CCTV selain mempunyai reka bentuk mesra OKU serta warga emas.
Menurut LPKP Sabah, perkhidmatan itu beroperasi setiap hari dari 5.30 pagi hingga 11 malam, dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit.
Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM17.6 juta setahun atau RM88 juta bagi tempoh lima tahun untuk inisiatif berkenaan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST).

