Lebih 25,000 penduduk Pulau Bum Bum nikmati kemudahan SARA

SEMPORNA: Lebih 25,000 penduduk Pulau Bum Bum yang layak menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini mendapat akses lebih mudah selepas sebuah premis di pulau berkenaan dilantik sebagai Rakan Niaga SARA.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Koperasi Anugerah Badli merupakan Rakan Niaga SARA ke-33 di daerah Semporna dan satu-satunya beroperasi di Pulau Bum Bum.

Menurutnya, sebelum ini penduduk terpaksa menaiki bot ke tanah besar Semporna untuk mendapatkan barangan keperluan menerusi kemudahan SARA sebelum kembali semula ke pulau.

“Kita mendengar kesukaran yang dihadapi masyarakat di sini, sebab itu kemudahan SARA dibawa lebih dekat kepada mereka melalui Rakan Niaga di Pulau Bum Bum sendiri,” katanya selepas meninjau pelaksanaan SARA di pulau berkenaan, hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengenal pasti kawasan yang berdepan kekangan akses supaya faktor jarak, laut dan lokasi tidak menjadi penghalang kepada rakyat menikmati bantuan disediakan.

Katanya, kerajaan turut melihat kemungkinan memperluaskan pelaksanaan SARA ke pulau-pulau berpenduduk lain di Sabah dengan kerjasama MyKasih Foundation.

Premis yang berminat menjadi Rakan Niaga SARA boleh mengemukakan permohonan, namun perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk keupayaan menyediakan sistem kod bar.

Amir Hamzah berkata lawatan ke Pulau Bum Bum itu juga sebahagian usaha kerajaan memantau pelaksanaan SARA di seluruh negara, termasuk kawasan yang jarang mendapat perhatian.

Berita Berkaitan