Lelaki dipenjara sembilan bulan kerana potong kabel telekomunikasi
KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memotong kabel pembumian milik sebuah syarikat telekomunikasi dengan niat mencurinya.
Tertuduh, Christoper Paliyu, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memotong kabel pembumian (grounding cable) milik sebuah syarikat telekomunikasi di sebuah pencawang di Kampung Sinanggip, Pitas, pada petang 14 September lalu.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat mencuri kabel berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh sabitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, polis akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan mencuri kabel telekomunikasi.
Katanya, tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.

