Lelaki maut selepas motosikal bertembung kereta di Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Beaufort-Papar berhampiran simpang Lumat Sentral, Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun dan motosikal Yamaha NMAX ditunggang lelaki berusia 34 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja ketika kejadian berlaku.

Siasatan awal mendapati Perodua Viva itu sedang membelok ke kanan untuk keluar dari simpang sebelum motosikal yang bergerak lurus dari arah Beaufort menuju Papar melanggar kenderaan tersebut.

Penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi pegawai penyiasat, Insp Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Berkaitan