Lima pelajar cemerlang Sabah terima biasiswa TYT ke UK

KOTA KINABALU: Lima pelajar cemerlang Sabah terpilih menerima Biasiswa Anugerah Cemerlang Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melanjutkan pengajian ke Northumbria University, United Kingdom.

Kesemua penerima dijadual berlepas ke United Kingdom pada 19 September depan.

Penyampaian biasiswa disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin dalam satu majlis di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Penerima termuda, Nixon Liew Yan Chern, 17, berkata biasiswa berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menjadi pendorong untuk mencapai cita-citanya sebagai jurutera kimia.

“Saya berharap saya dapat menggunakan ilmu saya bagi pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi penerima dari Tuaran, Nur Sazrina Nester turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas peluang yang diberikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan selepas ini saya mahu berbakti kepada negeri Sabah sebagai menghargai dan membalas jasa atas peluang yang diberikan,” katanya.

Tiga lagi penerima ialah Aidryn Syinta Aidi, Garry Gelvint Hendry dan Ivan Dominic Rainol.

Berita Berkaitan