MA63: Sabah tetap tuntut 40 peratus, isu teknikal tidak jejaskan hak negeri
KUNAK: Kerajaan Sabah menegaskan tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan walaupun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat berkaitan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri pada Jumaat ini, dengan Sabah menjadi tuan rumah.
“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya.
Menurut Hajiji, kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan 40 peratus berkenaan dan proses teknikal yang sedang berjalan tidak mengubah kedudukan hak Sabah.
“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang pentadbiran Perdana Menteri ketika ini, sembilan perkara di bawah MA63 telah diselesaikan, selain empat perkara terdahulu, menjadikan keseluruhannya 13 perkara.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa tuntutan yang belum dimuktamadkan dan kerajaan negeri akan terus membawanya ke meja rundingan.
Hajiji berkata demikian selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd, di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik kemajuan kilang berkenaan yang hampir siap dan dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum akhir tahun ini.
Katanya, projek itu berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada Kumpulan Sawit Kinabalu serta memperkukuh industri hiliran berasaskan sawit di negeri ini.

